25 Feb 2010

Episode 6 ~ Percubaan marabahaya,kononnya

Seminggu sudah berlalu,seminggu itu jugalah telefon bimbit Andy aktif memainkan lagu ‘Dari sinar mata’ menandakan mesej baru telah masuk di peti melnya. Seminggu itu juga telefon bimbitnya tidak lepas dari tangan kanannya. Seminggu itu juga Andy sering tersengih di depan skrin telefonnya itu. Seminggu itu boleh dikatakan sedikit sebanyak meluaskan paradigma Andy. Kini Andy tidak seperti dulu lagi. Hidupnya lebih bermakna,lebih gembira dan bahagia walaupun dia hanya bermesej dengan Yana. Tapi,lebih baik dari dulukan? Di mana Yana hanya wujud di dimensi imaginasinya sahaja.

Sudah sifat anak-anak Adam ini tamak,sudah dapat,mahukan lebih lagi. Biasalah,dan Andy tidak terkecuali. Saban hari hatinya mendesak untuk menemui Yana. Dia inginkan satu perjumpaan yang istimewa dengan Yana. Dia mahu menghabiskan masa dengan Yana,bersama,bukan hanya dengan bermesej di telefon. Andy juga ingin keluar bersama gadis,seperti kawan-kawannya yang lain. Ini tidak,sikit-sikit dengan Boy sahaja. Makan dengan Boy,tengok wayang dengan Boy, shopping dengan Boy,semua nak dengan Boy. Sekurang-sekurangnya,kalau dia keluar dengan Yana,dapatlah dia menepis anggapan negatif masyarakat kita ini. Itupun kalau dia dapat keluar dengan Yana. Kalau.

Dia nakkah keluar dengan aku ni? Ish,kalau dia tolak malulah aku. Tak apa,belum cuba belum tahu. Macam-macam yang bermain di kepala Andy. Sambil memusing-musing telefon bimbitnya itu, hatinya masih ragu-ragu untuk mengajak Yana. Macam-macam yang difikirkannya sehingga membuatkannya ingin membatalkan niatnya itu. Namun,ada saja alasan yang terbit untuk menyedapkan hatinya. Kini dia memandang skrin telefonnya itu. Diratapnya satu nama.Yana. Andy ingin membuat panggilan kepada nama itu,tapi hatinya belum cukup berani untuk berkata-kata nanti,walaupun sebelum ini dia pernah mengadakan sesi bual bicara dengan Yana,biarpun hanya dia seorang saja yang bersuara. Tiba-tiba dia teringat dengan peribahasa Melayu,alang-alang menyeluk perkasam biar sampai pangkal lengan. Namun masih tidak cukup baginya untuk menaikkan meter beraninya agar dapat menelefon Yana. Andy memusing – musing kembali telefon bimbitnya. Fikirannya kembali menerawang bersama seribu satu macam andaiannya. Dan kini,otaknya dicucuk idea lagi,kali ini Andy teringat tentang satu adegan dalam filem jiwang arahan anak tempatan dan dibarisi pelakon-pelakon tempatan. Adegan tersebut adalah salah satu babak di mana sang hero ingin mengajak sang heroin keluar atau date. Ingin meminta tunjuk ajar dijadikan alasan agar dapat bersama sang heroin,dan dalam proses untuk mengajak sang heroin keluar bersamanya,bermacam-macam cara yang sang hero lakukan. Antaranya,sang hero memasuki kelas sang heroin dan memaksanya bersetuju keluar dengannya,dan tidak akan keluar dari kelas itu selagi sang heroin masih tidak bersetuju.

‘Takkanlah aku nak mintak dia ajar aku,kursus kami lain-lain,’ sambil memandang dinding polos ruang tamu rumah yang disewanya itu. ‘Masuk kelas dia,ish,gila apa!’ Andy buntu. Menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. ‘Ah,baik aku call je,baru gentleman sikit!’ terus mencari nama Yana dan menekan punat hijau. Hatinya sedikit gementar,ini kali pertama dia memanggil Yana menerusi telefon. Ditumpukan segala perhatiannya pada bunyi di telefonnya itu. Setelah beberapa saat barulah bunyi tut…tut… kedengaran,bunyi yang menandakan telefon Yana kini sedang berdering. Perasaan gementarnya tadi berkembang lebih besar,degup jantungnya juga semakin laju,dahinya juga mulai berpeluh. Andy menelan air liurnya. Bunyi itu masih kedengaran,Yana masih belum menyambutnya. Ketika masih menunggu Yana menyambut panggilan pertamanya itu, Andy sempat lagi berfikir,sapaan apa yang patut dia gunakan,hello,hai atau Assalamualaikum? Lepas tu apa pula yang patut dia buat? Nak tanya dia tengah buat apa? Di mana? Ish,nanti kena cop jaga tepi kainlah pulak. Nak baca tips dalam majalah Bujang Senang dah tak sempat. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan.

‘Hello…’ suara manja Yana tiba-tiba memutuskan khayalan Andy. Perasaan gementarnya lebih kembang dari sebelumnya,degup jantung semakin laju melebihi had laju lebuh raya, peluhnya semakin menjadi-jadi. Andy menelan air liurnya.
‘Hello,anyone there?’ laungan dari Yana masih tidak dibalas Andy. Cemas,panik atau takut? Sepantas kilat ibu jari Andy memutuskan talian.
‘Bodoh,bodoh,bodoh!’ menghantukkan telefon bimbitnya ke dahi beberapa kali. Kini baru Andy rasa menyesal pula. Andy juga sedikit bimbang dengan perasaan balas Yana atas tindakannya itu. Sedang dia melayan perasaan sesalnya itu,telefonnya berbunyi. Ada mesej telah masuk.
‘ad ap andy?’
‘Apa yang patut aku balas ni?’ Andi terus membalas mesej Yana itu.
‘Sori,actually i nk ajak u klua mkn… ’
‘Alang-alang menyeluk pekasam,’bisik hatinya. Kini dia hanya berserah,dia tidak kisah sama ada Yana menolak pelawaannya itu.
‘sp belanje?’
‘Yes!’jawapan yang agak positif,sehingga segala perasaan bimbangnya tadi telah hilang dan kini bertukar suka.
‘of coz la i ;),’
‘y k? tp esok la,sbb hari ni i busy sket,sowie,’
‘x pe janji u sudi’
‘k esok kite jumpe,bye’
Kini,Andy tahu yang dia ada date esok malam. Emisi kegembiraan hatinya, tuhan saja yang tahu. Dia bakal menghabiskan masa bersama gadis idamannya,gadis yang telah menewaskannya sejak pandangan pertama. Apa yang perlu dibuatnya kini,adalah bersedia untuk hari esok,hari yang bakal melakar sejarah dalam perjalanan hidupnya.
‘Boy,pinjam kereta,’agar dapat membuat persediaan yang sempurna,khidmat Boy diperlukan.
‘Nak pergi mane?’soalan lazim sekiranya ada orang yang ingin meminjam kereta ataupun motor anda.
‘Nak pergi Giant,’
‘Jom,akupun nak beli barang juga ni,’jawab Boy pantas.
Semangat berkobar-kobar Andy membuatkannya lincah mengambil kunci kereta Boy yang tersangkut di dinding,dan terus meluru keluar menuju kereta itu dan menghidupkan enjinnya.

‘Apahal budak ni?’kelakuannya betul-betul menghairankan Boy.
Setelah pulang dari Giant
‘Kau ni,apa fasal beli minyak wangilah,minyak rambutlah,bedaklah,shaverlah?’ perbelanjaan Andy hari itu turut menarik sifat ingin tahu Boy.
‘Untuk akulah,’balasnya rileks.
‘Tapi minyak wangi bro,body shop pula tu,musykil aku,’Boy meneruskan untuk mendapat jawapan yang sebenar.
‘Tak bolehkah?’
‘Boleh tapi…’Boy tiba-tiba terdiam seperti ada sesuatu menerpa fikirannya.
‘Oh,mesti kau nak keluar dengan budak Yana tu kan?’ tekaan Boy itu tidak dipedulikannya. Boleh mati kena perli dia kalau Boy tahu dia beli semua barang tu semata-mata nak keluar makan dengan Yana. Andy hanya berdiam diri bagi merahsiakanperkara itu.
‘Betullah ni kan,ahhahahaha!’ merasakan bahawa tekaannya betul,Boy ketawa terbahak-bahak. Andy hanya diam menahan malu.

‘Ah,janji esok aku ada date,yahoo!’bisik Andy. Sementara itu,Boy terus memerli Andy diselangi dengan dekahan ketawanya.

Tiada ulasan: