23 Jan 2010

Episode 2 ~ kali kedua


Di mataku,dia memang sempurna
rambutnya panjang keperangan
mukanya bujur,matanya jeli
bibirnya nipis berkilau
hidungnya mancung,pipinya halus.


Inginku sapa,tapi tiada daya
degup jantungku pula makin mengencang
bila mataku tiba-tiba terpaut dengan mata hitamnya
walau hanya sesaat dua
ku rasa hati ini memancar sinar bahagia
ku toleh semula
dengan harapan dia juga menoleh sama
tapi tak apalah,esok masih ada.

Andy,selamat datang ke dunia penuh harapan. Kini kau berada di tahap pra-asmaraloka. Ha..ha… Sudah seminggu Andy melayan perasaan jiwangnya itu. Sudah seminggu juga dia sering baring di tilam tanpa katil yang menjadi tempat memisahkan dirinya dari kesibukan assignment,sambil memacukan matanya ke dinding putih polos di biliknya,tatkala fikiranya menerawang. Menerawang ke dimensi ciptaannya, yang penuh fantasi,yang dikendali imaginasinya.Kini,subjek mainan imaginasinya telah berubah,bukan lagi menjadi bintang Manchester United,bukan lagi menjadi pemain sayap kanan yang sentiasa menjaringkan gol kemenangan di masa kecederaan,juga bukan lagi menjadi pemain bola sepak yang melayakkan negara Malaysia ke Piala Dunia. Kini subjeknya lebih real, lebih logik dan genrenya lebih autentik. Watak utama telah bertukar dari hero kepada seorang gadis yang tak pernah ditemuinya sebelum ini. Seorang gadis misteri.


‘Boy,kau tengok model ni ada macam budak tu tak?’ Andy menepuk lutut Boy yang duduk di sebelah kanannya sambil kepalanya tidak beralih dari kaca televisyen.
‘Kau ni,tak habis-habis,rimas kau tau tak.’
‘Ish,kau ni,tak memahami langsung la,’kepalanya masih seperti di paku,tidak bergerak dari kaca televisyen.
‘Tak faham?Kau tu dah angau,dah mabuk dengan awek hari tu kan?’ balas Boy yang telah menjadi mangsa Andy yang mabuk kepayang itu.Andy hanya tersipu-sipu malu.Sejak mereka terserempak dengan gadis misteri Si Andy itu,Andy tidak habis-habis bercerita tentang kecantikan gadis misterinya itu kepada Si Boy. Buka saja mulut,topik yang disemburkan mesti ada bersangkut-paut dengan Si gadis misteri. Siapakah gadis tersebut? Siapakah namanya? Sudah berpunya? Ah,itu tidak penting! Sedangkan kapal terbang boleh dirampas,ini lagi kekasih orang.
Apa namanya? Semester berapa? Course apa? Hmm…Kalau dapat tahu nama kau pun cukuplah. Ish, tak boleh,mesti kenal,dia mesti tahu nama aku. Kena ada nombor telefon. Baru boleh main mesej-mesej. Boleh ajak minum,makan,joka-joka,tengok wayang. Lepas tu couple. Aiseh,indahnya… Dah couple boleh buat assignment sekali.Wah…! Indahnya…!


Inilah yang sering bermain di kotak fikiran pemuda sunyi yang bernama Andy ini. Sudah habis berfantasi, kesan sampingannya turut memberi impak terhadap teman rapatnya. Kesian Boy. Setelah hampir dua minggu sejak dari lahirnya cinta pandang pertama Andy itu,fantasinya mulai berkurang, begitu juga topik perbualannya bersama Boy. Tetapi amat mustahil untuk dia melupakannya.


‘Jom,makan,’ ajak Andy kepada Boy yang masih memakai tuala,jelas masih ada titis-titis air di dadanya begitu juga rambutnya yang masih basah dan tercacak-cacak.
‘Kejap ya darling,’ terus memasuki bilik setelah menerima ajakan temannya itu.
‘Makan di mana?Simfoni? Selera Indah?’ sambil memakai tali pinggang, menanya Andy yang sedang asyik menekan punat telefon bimbitnya.
‘Qrishna?’
‘Jom,’mudah memberi kata sepakatnya.
Sebaik saja sampai di restoran India muslim itu,Andy menghala kepalanya ke kiri dan kanan, mencari tempat duduk untuk mereka.
‘Tu,tu,’Boy menuding jarinya di penjuru bahagian luar restoran itu. Memang tempat open-air selalu di jadikan pilihan kerana lebih selesa,lagi-lagi perokok. Malam itu,umat yang datang boleh dikatan sangat ramai,maklumlah,Jumaat malam Sabtulah katakan. Malam yang best untuk chill-out.Kononnya.
Sebaik saja duduk,mereka berdua terus di datangi pelayan di situ untuk mengambil pesanan.
‘Pandai kau pilih tempatkan?’Andy menjeling pada meja yang terletak pada pukul 10,hanya lebih kurang semeter dari meja mereka.Boy hanya senyum dengan mulut tertutup,seraya mengangkat keningnya.
Dua gadis baya mereka sedang rancak berbual,salah seorangnya mengacau cawannya dengan straw dan seorang lagi sibuk menggerak-gerakkan tangan membantunya menyampaikan satiranya itu.
‘Cute juga kan?’Boy memuncungkan mulut pada dua gadis yang berdekatan meja mereka. Andy hanya memaling kepala untuk sekilas pandang.’Ah,engkau,tak habis-habis dengan gadis misteri!’’Gadis misteri,gadis misteri!’sambung Boy lagi.Andy hanya tersipu malu.


‘Yana,Yana!’panggil Si Becok dengan melambai-lambai tangannya. Sebaik saja sedar akan panggilan itu,dia pun terus menuju ke meja yang diduduki dua orang gadis itu.Dia terus menyalam kedua-dua gadis yang tadi rancak berbual.
‘Teh O ais limau,’jawabnya sebaik saja pelayan datang kepadanya. Bila ditanya ingin makan apa, dia hanya menggeleng..Tanpa disedari ,rupanya dia diperhatikan oleh dua pemuda,Andy dan Boy.
‘Patutpun ajak aku makan sini,’perli Boy yang sedang melihat temannya sedaya upaya menahan hidungnya dari mengembang lebih besar.
Oh,Yana rupanya

21 Jan 2010

Episod 3 ~ Belum cuba belum tahu

Yana oh Yana. Fikirannya menerawang lagi. Kali ini dia berkhayalan bersama Yana. Terbang mengelilingi bima sakti,menaiki kuda padi berwarna putih,mengembangkan sayapnya sehingga menghasilkan sinar berwarna pelangi. Andy mengacukan jari telunjuk dan melihat Yana yang sedang erat merangkulnya dari belakang. Jarinya menunjukkan pada satu cahaya putih terang kebiru-biruan. ‘Bintang kehidupan’ namanya. Mereka terus memecut laju. Pecutan laju itu menghasilkan debu-debu perak yang berkilauan, serta sinar pelangi dari kaki dan sayap tunggangan itu,dan terus memenuhi ruang jalan angkasa raya yang mereka lalui. Mereka memecut lebih laju,meninggalkan debu dan sinar indah itu. Andy bersorak kegembiraan,Yana memeluk lebih erat dan memejam matanya. Sinar terang yang dipancarkan dari Bintang Kehidupan,membuatkan Yana membuka mata perlahan-lahan dengan tangan kanannya menahan silau cahaya itu. Tersenyum kagum kedua-duanya sebaik saja mereka melepasi ozon yang dingin dan berudara lembut itu. Yana menepuk bahu Andy beberapa kali. Dia menuding ke arah kawanan ikan lumba-lumba yang sedang meluncur di udara,tidak jauh dari mereka. Andy senyum dan melambai ke arah kawanan itu. Andy memandang Yana dan memberi isyarat agar memegangnya kuat-kuat kerana sebentar lagi mereka akan mendarat. Ketika sedang mendarat,Yana sempat membuka matanya dan melihat satu cahaya merah ceri. Cahaya itu seperti memanggil namanya. Dalam hatinya,sebaik saja mendarat itulah tempat pertama yang ingin dilawatnya.

‘Weh,bangun,dah pukul 8 dah ni!’suara nyaring itu mengejutkan Andy dan memisahkannya dari dimensi indahnya. Satu dimensi yang tidak dapat dialami dan dicarinya di duniawi. Mana Yana? Mana kuda? Argh..! Di carinya suara yang merosakkan mimpi indahnya itu yang tadi seperti berada di muka pintu biliknya. Lesap. Dicapai telefonnya. 7.45am tertera pada sudut kanan sebelah atas di skrinnya. Andy hanya bangun separuh dengan mata terpejam.
‘Woi,bangunlah lakhnat!’suara itu menyergahnya lagi.
Andy hanya membalas dengan mengacu jari tengah tangan kirinya. Barulah dia bangkit,terus mencapai tuala dan menuju ke kamar mandi.
Andy melihat cermin. Direnggangkan jari-jemarinya,dan terus mengusap rambut hitam lebatnya itu. Membelek-belek kepalanya ke kiri dan kanan. Dia mencalit lagi minyak rambut dengan jari tengah dan telunjuknya untuk ditepek di kepalanya. Diratakan saki-baki minyak tadi di seluruh kepalanya. Dia mengambil tuala yang tergantung di tombol pintu,mengesat kedua belah tapak tangannya.

‘Weh,cepatlah,kita naik bas!’suara tadi bergema lagi.
‘Ha,kejap,lima minit.’balas Andy yang tengah menyidai tualanya.
Hari Isnin merupakan hari korporat. Seluar panjang kain,baju kemeja, dan tali leher ,itulah rata-rata yang dikenakan oleh para siswazah. Bagi mereka yang ingin menjadi wakil rakyat,baju batik dijadikan pilihan, untuk melatih diri sebelum bergelar Dato dan pangkat yang seangkatannya . Ada yang lebih advanced, memakai kot gelap dan membawa beg James Bond. Budak law agaknya. Tapi bila kita jenguk fakulti mekanikal,simple. Jaket bengkel,jean lusuh dan gonrong. Ada budak dari fakulti lain mengecop mereka ini selekeh dan teruk disiplinnya. Biarpun luaran mereka selekeh,tapi result gempak. Itu apa yang aku dengarlah. Ha,itupun Andy,diapit dengan Boy,kuncu rapatnya. Memakai baju kemeja lengan panjang berasaskan warna biru,bercorak petak tanpa tali leher,seluar jean gelap dan manyarung kasut kanvas,dengan tangan kirinya mengapit buku-buku akedeminya. Hari Isnin Andy dipenuhi jadual yang padat. Kelasnya bermula dari pukul 9 dan selesai pada pukul 5 petang, rehat tengah harinya hanya sekadar minum secawan teh o ais dan menikmati nikotina.
Seperti hari-hari lain,dia pasti akan pulang bersama buah hatinya,Boy,namun pada hari Korporat itu,Boy terlebih dahulu pulang ke rumah meninggalkan Andy sendirian di kampus. Sebenarnya Andy tidaklah bersendiri,dia bersama dua lagi ahli kumpulannya ingin berbincang tentang tugasan mereka. Setelah habis berbincang Andy meneruskan niatnya untuk pulang. Apa yang ada di kotak fikirannya hanyalah ingin mandi,makan dan tidur. Langkahannya menuju ke perhentian bas tiba-tiba perlahan. Memang sah. Yana.
Hah,tidak sia-sia aku balik lambat. Bisik hati girangnya itu. Semakin mendekati Yana,degupan jantungnya semakin kencang,mengepam darah lebih laju seperti sesudah bermain futsal,adrenalinanya juga turut mengalir pantas, peluh mulai membasahi dahinya,sedangkan terik sang matahari sudah lama berlalu. Dia berazam untuk menegur Yana,kerana mungkin ini sajalah peluangnya. Andy berlagak tenang dan terus duduk di sebelah Yana. Lagakkannya itu masih tidak dapat meredakan adrenalinanya,namun dia tetap ingin meneruskan niat murninya itu. Murni? Murni kot. Otak,akal dan mindanya mulai mengatur langkah. Terlintas juga di fikirannya,bahawa sudah sehari suntuk di kampus,tanpa bermandi. Ah,itu hal kecil! Di kuatkan yakin dirinya. Dia menoleh ke kanan. Yana menoleh ke kiri. Bola mata mereka berpaut seketika. Kini,segala-galanya mengalir kencang. Hatinya seolah ais yang cair dek sang matahari. Namun ada bahagian hatinya terasa tenang,mengalahi keheningan malam. Dia menoleh ke kanan lagi,tapi kali ini Yana hanya tunduk ke bawah.
‘Tung… tunggu bas ke?’ soalan yang dipikul dengan harapan untuk memulakan perbualan mereka yang pertama terpacul juga dari mulut Andy. Yana hanya senyum dan menggelengkan kepala. Betapa gembiranya Andy dengan balasan Yana dengan ukiran senyumnya yang manis itu,walau tanpa mendengar suaranya lagi.
‘Budak UiTM ke?’ semakin berani,tapi soalannya hanya dibalas dengan anggukan.
Apahal budak ni,bisukah? Takut dengan akukah? Keluarga dia pesan jangan bercakap dengan orang tak dikenali?
Segala macam persoalan berputak di kepalanya,sabar Andy. Sabar.
‘Nama saya Andy,budak mechy,U? soalan ketiga darinya,yang boleh dikatakan budiman. Apa pulak jawapan gadis di sebelah kirinya ini,yang sudah hampir tiga minggu dikhayalkan.
Yana terus menoleh ke sebelah kanannya di mana Andy duduk, tidak bersuara,hanya menunjukkan mimik muka seperti terkejut tetapi kelihatan sedikit tercuit hatinya. Membalas dengan senyuman lagi.
Andy tersenyum. Menggaru kepala yang tidak gatal. Afinitinya untuk memulakan perbualan terhenti. Dalam hatinya,melabelkan Yana sedikit bangor budaknya. Terasa tercabar pula kini. Otaknya semakin ligat berputar untuk dijadikan punca agar gadis manis di sebelahnya ini untuk bersuara,walau satu perkataanpun. Dengar gelak-ketawanyapun sudah memadai. Adakah patut dia menggembungkan pipinya sambil kedua tangannya menarik kedua cuping telinganya. Macam monyet. Ish,untuk sepupunya yang memasuki usia satu tahun tu bolehlah. Tiba-tiba lampu mentol di kotak mindanya bernyala. Andy menoleh ke kiri.‘Ermm…’belum sempat dia berkata-kata,Yana bingkas bangun dari rod besi berwarna kuning yang dijadikan tempat duduk sejak tadi. Sebuah sedan mewah berwarna perak menuju ke hentian bas itu. Andy melihat pemandunya. Lelaki,seperti bayanya. Tunas cemburu mulai bercambah laman hatinya,walaupun segala tanyanya tadi hanya dibalas dengan anggukan,gelengan dan senyuman saja. Yana terus membuka pintu depan sedan itu. Andy memerhatikan saja gerak Yana. Yana menutup pintu.
“Bye…!” Yana melambai kepada pemuda yang dari tadi ingin berbual dengannya, di hiasi dengan senyumannya yang manis,menampakkan giginya yang putih itu, sejurus sebelum sedan perak itu menderu laju.
Andy senyum sampai ke cuping,berdiri dan membalas lambaian Yana tadi. Walaupun bayang sedan perak itu sudah hilang,Andy masih berdiri,menampakkan giginya dan terus melambai. Gila apa!
Kini hatinya merembeskan jus-jus bahagia,mulutnya tidak habis-habis melemparkan senyuman,gelora jiwanya sedikit reda,di kepala otaknya,lepas ini minta nombor telefon pula.

‘Apa yang berwarna merah tadi itu kanda?’ tanya Yana sebaik saja menuruni kuda padi putih tunggangan mereka,sambil memegang bahu Andy, dan pinggangnya pula di sokong oleh kedu-dua tangan kekasihnya itu.
‘Oh,itulahpokok Buah Chenta sayang,’jelas Andy.
Maka pasangan itu menuju ke pokok tersebut yang jelas kilau merahnya dari jauh. Setelah habis sebatang rokok,usai sudah perjalan mereka menuju pokok itu. Cantik sungguh pemandangan pokok itu bila diamati dari bawah. Buahnya berwarna merah ceri,bercahaya malap,jarang-jarang memenuhi seluruh dahan-dahan pokok itu. Tidak jauh dari tempat mereka berdiri,terdapat satu dahan yang lebih rendang. Andy melangkah ke arah dahan itu. Dia hanya menjengkitkan kakinya untuk memetik buah itu. Dia hanya memetik sebiji dari dahan itu. Diberinya kepada Yana.
‘Makanlah,’ Yana mengambil dengan kedua belah tangannya.
‘Orang kata,sekiranya pasangan yang sedang bercinta memakan Buah Chenta ini,cinta mereka pasti akan berkekalan,’sambungnya disertai dengan senyum manis seorang kekasih.
Mendengar kata dari buah hatinya itu,Yana terus menggigit buah itu. Yana tersenyum ketika sedang mengunyah. Di baginya pula kepada Andy,cinta matinya. Andy menggigit di bekas gigitan kekasihnya itu. Senyum. Dilepaskan buah itu dari genggamannya,dan jatuh menyembah bumi. Buah itu berkecai dan hancur luluh seperti kaca. Hanya kesan debu-debu merah kelihatan di lantai tanah tempat mereka berdiri.
Andy memegang kedua belah pipi Yana. Yana perlahan-lahan menaikkan kedua belah tangannya,dan menyentuh tangan yang melapik kedua belah pipinya yang putih halus itu.
‘Aku chenta padamu’
‘Aku juga chenta padamu,’balas Yana dengan tubir mata yang berair.

20 Jan 2010

Episod 1~ Selamat tinggal

Andy. Itulah nama panggilannya. Nama yang sudah sebati dengan penduduk Kampung Bohor Tempoyak. Siapa tidak kenal satu-satunya anak abang Shah ini. Setiap kali Ramadhan menjelma,meriam buluhnya pasti menggegar kampung itu. Lagi-lagi pada malam raya,Pak Imam dan kroni-kroninya sibuk bertakbir,di situ juga dia sibuk menyalakan sumbu meriamnya. Zaman kanak-kanaknya memang diwarnai dengan kenakalannya. Tapi aku bukan mahu bersatira tentang Andy semasa usianya setahun jagung. Aku nak cerita tentang seorang siswazah yang hidupnya terasa kosong seperti kain Ihram. Hidupnya hanya untuk meneruskan hidup,tanpa berkongsi dengan kaum hawa. Kaum hawa yang sepatutnya menghiasi skrin telefon bimbitnya,seperti remaja sebayanya yang lain. Mari sini kita berkenalan dengan Andy.
Nama ; Azriandy bin Mat Shah
Tarikh lahir ; 13 Oktober 1985
Tempat lahir ; Hospital Queen Elizeberth, Kota Kinabalu
Berat ;± 60kg
Tinggi ; ± 170cm
Bapa ; Mat Shah bin Selamat
Ibu ; Siti Khadijah @ Amanda binti Sugut
Tempat tinggal sekarang ; Kg.Bohor Tempoyak,Langkawi
Matahari kian menghilang,sinar teriknya tidak lagi dirasai seperti tengah hari tadi. Buih laut semakin menghampiri jari kakinya.Bayunya kadang-kadang menyusup sampai ke tulang. Menggigil kecil Andy dibuatnya. Jet ski meluncur laju,ke sini sana,bebas tanpa batas,kini berkurang. Begitu juga ibu-ibu,bapa-bapa yang duduk melepak di atas tikar mengkuang sambil tangan kiri di kepala,tangan kanan pula di peha yang dikepit rapat.Santai.Cantik pemandangan Pantai Chenang. Matahari mengundur diri,membenarkan sang bulan pula untuk memberi sinarnya. Awan yang tadi biru,kini sedikit jingga keunguan. Andy duduk menikmati pemandangan indah itu buat kali terakhirnya. Sambil menikmati nikotina, dia hanya memerhati matahari jatuh ke ufuk barat. Dia menoleh ke kiri,ke arah warung minuman yang menyediakan arak tanpa cukai. Ramai. Matanya tertarik dengan gadis berambut perang,yang memakai dress merah. Matanya biru, hidung nya mancung,ukiran keningnya halus,manis rautnya ketika senyum. Andy melihat saja gelagat manusia di warung itu. Memegang gelas kaca yang pendek,botol kaca hijau,juga ada menggenggam tin bergambar harimau.
“6 setengah!” dia melihat tangan kanannya.
Andy menghisap rokoknya dengan sekali jalan. Di buang puntungnya di pantai itu dengan tenaga kinetik jari tengah dan ibu jarinya. Dia bingkas bangkit dari seliparnya yang dijadikan alas tempat duduk sejak pukul empat tadi.
“Wow,happening!” sambil senyum kepada salah satu pelayan bar di situ.
Esok Andy akan berlepas ke Kuala Lumpur,setelah hampir 2 bulan bercuti. Riak wajahnya jelas menunjukkan keberatan untuk meninggalkan pulau yang memang sudah sebati dengan jiwanya,sejak 19 tahun lalu.
‘Kau dari mana ni?’ sambut emaknya sebaik saja Andy menutup pintu kayu rumah mereka.
“Layan blues” terus melabuhkan buntutnya di sofa,seraya mengambil remote di meja depannya.
‘Sudah packing?’ tanya emaknya lagi
‘Sudah bos!’jawabnya pantas sambil menekan-nekan punat remote.
‘Esok siapa jemput kau di airport?’
‘Andy naik bas pergi KL Sentral mak,sampai sana baru kawan An ambil An,lepas tu baru pergi Shah Alam.’
‘Pergi mandi,lepas tu kita makan,dah makan kau rileks kejap lepas tu pergi tidur,esok kena bangun awal.’
‘Aduh,kena balik aku,’ Andy senyum sinis sebaik saja melihat muka ibunya. Dia mencapai tuala di kerusi lalu ke ruang belakang rumahnya,di mana terletak kamar mandi.

Pang pang pang!
‘Azriandy bangun!’memecah sunyi rumah yang didiami mereka di Jalan Bohor Tempoyak.
‘Andy kau nak terlepas flight kah?’sambung maknya lagi.
‘Hmm,jap,’suara mamai Andy kedengaran.

‘Okey la mak,Andy jalan dulu,’ terus menghulurkan tangan dan mencium tangan emaknya. Tidak cukup dengan itu,dia memeluk dan mencium kedua belah pipi wanita yang berusia di tengah 40-an itu.
‘Kau belajar elok-elok,jangan tidur je!’ tegur bapanya.
‘Okey bos,’menyalam erat tangan yang dipenuhi urat-urat itu,tangan yang telah menyaranya sejak merah lagi sehingga kini,sehingga dia bakal bergelar jurutera. Di cium tangan itu.
‘Dah sampai nanti An call’ terus menuju ke pintu A2,pintu menuju balai pelepasan.
Ibu-bapanya masih tercegat di situ,memerhatikan satu-satunya anak melepasi alat imbasan yang di selia oleh penjaga negara . Andy menoleh ke belakang,mengangkat tangan kirinya dan melambai kepada insan yang dipanggilnya mak dan ayah.

‘Weh,mana?Aku dah kat KL Sentral ni,ha okey okey!’ meletakkan balik telefon bimbitnya di saku seluarnya.
20 minit kemudian
Andy yang duduk sambil mendengar lagu melalui Walkmannya ,tiba-tiba menyeluk saku di mana telefon bimbitnya di letakkan.
‘Mesej.’

‘weh ak ad kat atas depan hotel Hilton ni,’ tertera di paparan skrin telefon bimbit Andy

‘jap,’balas Andy
‘Ha,itupun,’ terus menuju ke kereta Kancil bewarna keemasan.
‘Whats up brother!’terus menyapa Boy yang telah menjadi kawan rapatnya sejak semester 1 lagi. ‘Amacam result?’ tanya Andy lagi.
‘Elektrik!’jawab Boy ringkas. Andy mangangguk kepala,tanda faham.

Hari pertama kuliah
‘Boy,kelas Matematik kat mana?’ soal Andy sebaik saja mengeluarkan kaki kirinya dari Sang Kancil.
‘Ntah,aku pun tak tahu,nanti kita tanyalah siapa-siapa’
Dalam perjalanan menuju ke fakulti,tiba-tiba sesuatu telah menarik hati Andy,langkahnya terhenti,Begitu juga kawan baik selama-selamanya itu.
‘Holy potatoes!,’terpacul dari mulut Andy.